Ayat 3: Dalil yang kedua:
الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ طِباقًا ۖ مّا تَرىٰ في خَلقِ الرَّحمٰنِ مِن تَفٰوُتٍ ۖ فَارجِعِ البَصَرَ هَل تَرىٰ مِن فُطورٍ
Sahih International
[And] who created seven heavens in layers. You do not see in the creation of the Most Merciful any inconsistency. So return [your] vision [to the sky]; do you see any breaks?
Malay
Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا
Yang mencipta tujuh lapis langit berkubah-kubah;
Kalimah طِبَاقًا dari ط ب ق yang bermaksud di atas sesuatu yang lain. Menutupi sesuatu, bertindan-tindan. Jadi kita boleh bayangkan ia sebagai kubah di atas kubah. Maknanya dalam bentuk sfera. Bukan bertingkat-tingkat macam bangunan.
Untuk kita faham sedikit besar langit itu, mari kita bayangkan langit pertama. Selagi apa yang kita nampak dengan mata (atau dengan teleskop), atau segala bintang-bintang yang berbilion itu, semuanya terletak dalam langit yang pertama lagi. Iaitu dinamakan ‘langit dunia’. Ianya adalah langit yang paling dekat dengan kita.
Dan kalau langit pertama itu diumpamakan sebesar duit syiling, langit kedua yang meliputinya adalah seluas padang pasir yang luas. Dan kalau langit kedua diumpamakan sebesar duit syiling pula, langit ketiga yang meliputinya adalah seluas padang pasir. Begitulah sampai ke langit yang ketujuh.
Dan Arash Allah itu meliputi langit langit ketujuh. Jadi, memang tidak dapat dibayangkan. Dan kita tidak disuruh untuk mengetahui dengan mendalam.
Apa yang terletak dalam langit-langit yang lain, kita tidak tahu. Yang kita tahu dari hadis Nabi semasa baginda mi’raj melalui langit-langit itu, baginda telah bertemu dengan para Nabi yang dahulu di setiap langit.
Sekali lagi, saranan Allah untuk kita memikirkan tentang kejadian langit dan bumi berterusan. Kata سَمَاوَاتٍ adalah apa sahaja yang di atas kita. Ianya adalah kata jamak dari perkataan sama’ – langit.
Perkataan طِبَاقًا bermaksud ‘yang berlapis-lapis’. Ia juga mempunyai makna kedua: ‘tersusun’. Kalau kita lihat kepada langit, kita boleh lihat bagaimana ianya tersusun sahaja. Lebih-lebih lagi kalau kita lihat kepada planet dan apa sahaja yang ada di langit surya. Semuanya tersusun indah dan tidak berlanggar antara satu sama lain.
Kepada pengkaji astronomi, mereka tahu bahawa kedudukan planet dalam Bima Sakti itu tersusun, yang kalau kedudukan semuanya berubah sedikit sahaja, maka akan hancurlah alam ini. Begitulah Allah telah meletakkan segala sesuatu pada tempatnya.
Sebelum ini Allah menyebut tentang kejadian manusia. Dan kali ini tentang kejadian langit pula. Banyak kali Allah buat macam ini. Kerana Allah hendak menunjukkan ada perhubungan dan persamaan antara kejadian langit dan bumi.
Sebagai contoh, dalam surah Yaasin, Allah menceritakan tentang perjalanan bulan yang akhirnya akan kembali jadi seperti tandan yang tua. Dan manusia pun begitu juga – lahir, membesar dan akhirnya menjadi tua. Maka, sekejap tengok pada alam dan sekejap kita tengok pada diri kita sendiri.
مَا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِنْ تَفَاوُتٍ
Dan kamu tidak dapat lihat pada penciptaan Tuhan yang Maha Pemurah itu sesuatu yang tidak seimbang;
Kalimah تَفَاوُتٍ dari ف و ت yang bermaksud ‘lari’ dari keseimbangan. Maknanya ada kekurangan, tidak seimbang. Penciptaan Allah, semuanya elok sahaja. Saling bersesuaian dan seimbang. Tidak ada perselisihan antara satu sama lain.
Penciptaan ini boleh merujuk kepada dua makna: samada Allah memperkatakan tentang penciptaan langit sahaja, atau keseluruhan alam ini. Perkataan sebelumnya berkenaan dengan langit, maka besar kemungkinan ianya tentang langit yang seimbang.
Tapi kalau kita lihat penggunaan perkataan yang digunakan – فِي خَلْقِ – pada kejadian – ianya tidak terhad kepada langit sahaja. Ianya boleh merujuk kepada segala apa yang dijadikan oleh Allah. Dan memang segala apa yang dijadikan oleh Allah itu tidak ada tidak seimbang atau tidak sempurna. Tidak ada kejadian Allah yang tidak sesuai.
Allah menyebut namanya ‘Ar-Rahman’ kerana hendak menunjukkan bahawa Allah menjadikan semua alam itu diatas sifat RahmanNya, iaitu sifat pemurahNya. Allah mengingatkan kita tentang segala rahmat yang Allah telah berikan kepada kita.
Kalau Allah telah berikan kita bermacam-macam dan segalanya yang kita perlukan untuk hidup dengan senang, kenapa kita hendak menolak segala suruhanNya lagi? Kalau kita nak minta tolong kepada anak kita pun, kadang-kadang kita ingatkan dia tentang segala kebaikan yang kita telah lakukan kepadanya.
Lebih-lebih lagi kalau anak itu degil. Begitu jugalah Allah mengingatkan kita kepada segala kemurahanNya yang telah dilimpahkan kepada kita. Apa lagi yang kita tidak dapat?
Dalam ayat ini, Allah mengatakan مَا تَرَىٰ ‘kamu tidak dapat melihat’. Lain dengan bahasa yang Allah gunakan untuk menceritakan Qur’an di dalam ayat Baqarah:2:- Dalam ayat Baqarah ini, Allah menggunakan perkataan رَيْبَ yang bermaksud ‘syak’. Dalam ayat itu, Allah terus mengatakan bahawa tidak ada syak pada Qur’an. Itu adalah kerana Qur’an adalah ‘kalam’ Allah, maka tidak ada syak atau kekurangan padanya.
Tapi dalam penciptaan makhluk Allah yang lain, ada kemungkinan memang ada kekurangan, tapi kita sebagai manusia sahaja yang tidak akan nampak. Allah tahu di mana kekurangannya, tapi kita yang tidak nampak. Pada kita, kejadian Allah tidak akan kekurangan sedikit pun. Kerana kita tidak mampu melihat kekurangan itu kalau ada. Itulah bezanya ayat surah Mulk ini dan ayat Baqarah:2.
Dari ayat ini, kita boleh melihat bahawa Allah menyuruh kita untuk melihat kepada langit dan memikirkan kejadian langit itu dengan segala keindahan dan tidak ada kecacatan yang kita boleh lihat dengan pancaindera kita. Allah suruh kita gunakan pancaindera kita untuk kebaikan.
فَارْجِعِ الْبَصَرَ
Maka kembalilah kamu tengok sekali lagi langit itu;
No comments:
Post a Comment